Sunday, May 22, 2011

Tragedi Felcra Semungkis

Petang 21 Mei 2011 telah mencatat satu sejarah hitam di Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.

Nama Felcra Semungkis sebelum ini hanya dikenali oleh mereka yang pernah datang mengikuti latihan di dua buah tempat latihan yang terdapat disini iaitu, Lembah Azwen resort dan Kem An-Naim sekarang ini menjadi sebutan ramai.

Sejak dari semalam lagi, telefon bimbit penulis tak henti-henti dihurungi SMS bertanyakan tentang lokasi tempat kejadian yang telah meragut 16 syahid tersebut.

Tragedi tanah runtuh yang menghempap khemah sementara tempat latihan penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa benar-benar mengejutkan bukan sahaja bapak-bapak menteri tetapi diri penulis sendiri yang telah sekian lama berada dikawasan tersebut.

Kalau sebelum ini ketika aktiviti jungle trekking melalui kawasan Hutan Simpan Ampang, peserta selalu bertanya kepada penulis apabila terpandang sahaja bangunan berwarna putih, berbumbung ala minangkabau berwarna hijau tersebut, " Tuan Haris, tu bangunan apa ? "

Terus terang penulis memang tahu, terdapat kediaman anak yatim disana, tetapi tidak pernah sampai pun kesana, nama tempat itu pun baru diketahui semalam.

Tapi peristiwa semalam benar-benar membuatkan penulis hiba, bila melihatkan mangsa terdiri dari kanak-kanak yang ada antara mereka kali terakhir bertemu keluarga pada Aidilfitri tahun lalu.

Pagi tadi semasa melihat berita, ramai menteri yang dah sampai kekawasan tersebut, Najib pun khabarnya bergegas pulang dari Amerika Syarikat untuk bersama-sama rakyat Malaysia khususnya penduduk Hulu Langat merasai kesedihan ini.

Bantuan dan sumbangan bagai tanah runtuh juga, sekelip mata dan mencurah-curah bagai hujan bukit di Hulu Langat. Alhamdulillah masyarakat kita masih perihatin dan tidak lokek untuk membantu terutama kepada anak-anak yatim.

Penulis tak berkesempatan nak pergi kesana lagi walaupun hati meronta-ronta untuk kesana. Lembah Azwen Resort, menjadi tempat tinggal sementara bagi penghuni yang selamat.

Rasanya masalah jalan berlubang dari Jalan Hulu Langat ke tempat kejadian lepas ini akan berturap cantik dan masalah bau sampah dari pusat pelupusan sampah bukit ampang yang menjijikan akan dapat segera diatasi bilamana pak menteri mula terbau bau yang pelik.

Semoga Allah meletakkan mereka yang pergi ditempat yang terbaik disisiNya.



No comments:

Post a Comment