Sunday, May 22, 2011

Tragedi Felcra Semungkis

Petang 21 Mei 2011 telah mencatat satu sejarah hitam di Felcra Semungkis, Batu 14, Hulu Langat.

Nama Felcra Semungkis sebelum ini hanya dikenali oleh mereka yang pernah datang mengikuti latihan di dua buah tempat latihan yang terdapat disini iaitu, Lembah Azwen resort dan Kem An-Naim sekarang ini menjadi sebutan ramai.

Sejak dari semalam lagi, telefon bimbit penulis tak henti-henti dihurungi SMS bertanyakan tentang lokasi tempat kejadian yang telah meragut 16 syahid tersebut.

Tragedi tanah runtuh yang menghempap khemah sementara tempat latihan penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa benar-benar mengejutkan bukan sahaja bapak-bapak menteri tetapi diri penulis sendiri yang telah sekian lama berada dikawasan tersebut.

Kalau sebelum ini ketika aktiviti jungle trekking melalui kawasan Hutan Simpan Ampang, peserta selalu bertanya kepada penulis apabila terpandang sahaja bangunan berwarna putih, berbumbung ala minangkabau berwarna hijau tersebut, " Tuan Haris, tu bangunan apa ? "

Terus terang penulis memang tahu, terdapat kediaman anak yatim disana, tetapi tidak pernah sampai pun kesana, nama tempat itu pun baru diketahui semalam.

Tapi peristiwa semalam benar-benar membuatkan penulis hiba, bila melihatkan mangsa terdiri dari kanak-kanak yang ada antara mereka kali terakhir bertemu keluarga pada Aidilfitri tahun lalu.

Pagi tadi semasa melihat berita, ramai menteri yang dah sampai kekawasan tersebut, Najib pun khabarnya bergegas pulang dari Amerika Syarikat untuk bersama-sama rakyat Malaysia khususnya penduduk Hulu Langat merasai kesedihan ini.

Bantuan dan sumbangan bagai tanah runtuh juga, sekelip mata dan mencurah-curah bagai hujan bukit di Hulu Langat. Alhamdulillah masyarakat kita masih perihatin dan tidak lokek untuk membantu terutama kepada anak-anak yatim.

Penulis tak berkesempatan nak pergi kesana lagi walaupun hati meronta-ronta untuk kesana. Lembah Azwen Resort, menjadi tempat tinggal sementara bagi penghuni yang selamat.

Rasanya masalah jalan berlubang dari Jalan Hulu Langat ke tempat kejadian lepas ini akan berturap cantik dan masalah bau sampah dari pusat pelupusan sampah bukit ampang yang menjijikan akan dapat segera diatasi bilamana pak menteri mula terbau bau yang pelik.

Semoga Allah meletakkan mereka yang pergi ditempat yang terbaik disisiNya.



Friday, May 20, 2011

Summer Camp


Perkataan Summer camp bermaksud kem musim panas yang dianjurkan semasa cuti sekolah di negara-negara yang mempunyai musim panas dan peserta terdiri dari pelajar sekolah.

Summer camp telah menjadi begitu sinonim dengan cuti sekolah dimana di Malaysia summer camp dianjurkan pada musim cuti sekolah bulan Jun dan Disember.

Matlamat utama summer camp adalah untuk memberi suntikan motivasi kepada pelajar untuk belajar disamping memberi kefahaman tentang tanggugjawab mereka sebagai seorang anak dan pelajar serta tidak ketinggalan pendedahan kepada kemahiran insaniah seperti kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerjasama dan kreativiti.

Selain dari itu summer camp juga mengajar pelajar untuk berdisiplin dalam mengurus diri dan masa.

Summer camp mula popular di Malaysia pada pertengahan 90 an dimana pada ketika itu banyak kem-kem latihan dibuka dan peluang ini diambil oleh konsultan latihan untuk memperkenalkan konsep kem motivasi yang kini lebih dikenali sebagai summer camp.

Selain dari itu kesedaran ibu bapa tentang pentingnya pembelajaran berbentuk
‘experiential learning’ yang dapat membantu menyerlahkan jatidiri pelajar hanya boleh diperolehi apabila anak-anak mereka menghadiri program sebegini.

Ada tiga jenis gaya belajar, yang pertama adalah melalui visual, kedua auditori dan ketiga kinestetik. Summer camp menggunakan ketiga-tiga jenis gaya belajar ini bagi memberi kefahaman yang mendalam kepada pelajar tentang apa yang ingin disampaikan.

Pelajar lebih mudah memahami sesuatu yang ingin disampaikan apabila mereka melakukan aktiviti yang dapat merangsang minda mereka dan seterusnya maklumat tersebut akan tersimpan di minda kekal mereka.

Selain dari itu mereka juga mudah tertarik dan berminat apabila melalui sesuatu yang baru yang belum pernah mereka lalui sebelum ini.

Maka boleh dikatakan disini summer camp merupakan keperluan kepada pelajar terutama generasi sekarang sebagai pelengkap pembelajaran disekolah bagi menjamin survival mereka pada masa akan datang.

Pihak penganjur senantiasa memastikan keselamatan peserta menjadi keutamaan, taklimat keselamatan akan diberikan pada hari pertama kepada peserta dan pada setiap masa pergerakan mereka akan dipantau oleh jurulatih atau fasilitator.

Jurulatih dan fasilitator yang terlibat terdiri dari individu yang berpengalaman dan terlatih untuk melaksanakan aktiviti latihan.

Aktiviti yang dijalankan semasa summer camp telah dipastikan kesesuaiannya kepada pelajar sekolah dimana aspek keselamatan amat dititikberatkan bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Tempat latihan juga tidak mengabaikan aspek keselamatan dimana kebanyakan kem latihan menggunakan khidmat jurulatih bertauliah untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti luaran ( outbound ) seperti flying fox, rappelling, water confidence dan jungle trekking.

Makanan dan minuman peserta juga sentiasa dipastikan bersih dan tidak tercemar.
Penginapan ( dorm ) peserta juga dipastikan selamat dimana katil tidak disusun rapat dan mempunyai ruang untuk bergerak andai berlaku kecemasan dan mempunyai 2 pintu keluar.

Tips atau panduan kepada ibu bapa untuk memilih penganjur terbaik

1. Pastikan penganjur mempunyai pengalaman dalam menganjur program-program latihan samada berbentuk berkumpulan atau terbuka.
2. Pastikan jurulatih mempunyai tauliah sebagai jurulatih dan berpengalaman dalam bidang latihan serta mesra dan mengambil berat kepada pelajar.
3. Pastikan bilangan jurulatih dan fasilitator mencukupi semasa program berlangsung ( Kebiasaan 1 fasilitator bagi 10 hingga 15 orang peserta ).
4. Pastikan mendapat penjelasan tentang pengisian program, tempat latihan dari penganjur sebelum membuat pendaftaran.
5. Pastikan pengisian program adalah bersesuaian dan terarah untuk membentuk Minda, Jasad, Rohani, Emosi dan Sosial pelajar.
6. Pastikan memilih penganjur yang tidak mengambil terlalu ramai peserta kerana ini boleh menyebabkan ada peserta yang akan tercicir dan tidak mendapat peluang untuk menonjolkan diri.
7. Pastikan tiada aktiviti xtreme yang merbahaya dan berisiko tinggi ( terutama kepada kanak-kanak 9 hingga 12 tahun ).
8. Pastikan penganjur atau tempat latihan mengambil perlindungan insuran kepada aktiviti luaran.
9. Pastikan tempat latihan mempunyai kawalan keselamatan dan berpagar ( bukan kem terbuka yang dikunjungi orang awam ).
10. Maklumkan kepada penganjur jika anak anda mempunyai alahan ( alergi ).

Kadangkala ibubapa meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada penganjur agar dapat melakukan perubahan kepada anak mereka dalam aspek-aspek tertentu seperti perubahan tingkahlaku dan sebagainya.

Perlu diingatkan bahawa jurulatih atau fasilitator bertindak sebagai pencetuskan minda peserta kearah perubahan dan terpulang kepada peserta samada mereka mahu atau tidak melakukan perubahan.

Thursday, May 5, 2011

Strategi Lautan Biru ( Blue Ocean Strategy )

Lautan merujuk kepada pasaran ataupun industri. Lautan Biru adalah satu anologi yang menggambarkan potensi ruang pasaran yang begitu besar yang belum diterokai. Manakala strategi lautan biru merupakan satu pendekatan yang sistematik untuk mencipta ruang pasaran yang tidak perlu bersaing sebaliknya menjadikan pesaing tidak relevan.

Berbeza dengan lautan biru, lautan merah pula merujuk kepada satu pasaran yang di dalamnya penuh dengan persaingan dari individu atau industri yang menghasilkan perkhidmatan dan produk yang sama dan mereka saling ' membunuh ' antara satu sama lain.


Konsep BOS di perkenalkan oleh W.Chan Kim dan Renee Maurborgne melalui buku penulisan mereka bertajuk Blue Ocean Strategy.


BOS menjelaskan cara mencipta ruang pasaran baru tanpa pesaing. Satu-satunya cara untuk kekal kompetitif adalah berhenti berusaha melawan pesaing. BOS juga dianggap sebagai konsep dalam merebut nilai pembeli dan kos rendah untuk mencipta ruang pasaran baru. BOS bukan mengenai ‘mematikan’ persaingan, ia adalah mengenai membuat pertandingan dalam perniagaan, bukan menghapuskan pesaing perniagaan.


Usahawan di Malaysia digalakkan untuk menggunakan konsep ini dalam strategi perniagaan mereka, tidak kira samada perniagaan mereka berskala kecil mahupun besar, konsep ini mampu untuk mengekalkan mereka di dalam bidang perniagaan samada mereka masih baru ataupun telah lama.

Mindvision menawarkan beberapa kursus berkaitan konsep BOS ini, antaranya ;

1. Kursus Pemikiran Strategik

2. Kursus Pemikiran Kreatif

3. Kursus Pemasaran Kreatif

4. Kursus Pengurusan Kreatif

5. Kursus Perancangan dan Pengurusan Strategik


Hubungi kami untuk maklumat lanjut berkaitan kursus-kursus yang ditawarkan.