Thursday, January 5, 2012

Imiginasi dan Kejayaan

Pernahkan anda membuat rakit buluh ? Cuba anda bayangkan anda sedang membina sebuah rakit daripada buluh. Bayangkan bagaimana anda mengikat buluh-buluh tersebut dengan tali dan bayangkan anda sedang berada diatas rakit tersebut menyusuri sungai. Jika pada suatu hari nanti anda berpeluang untuk membuat rakit buluh sendiri, pastinya anda boleh membuatnya dengan imiginasi anda sekarang.

Jangan kita memandang enteng tentang imiginasi kerana imiginasi bukannya gambaran kosong atau angan-angan sahaja. Tetapi imiginasi adalah satu kaedah yang boleh memungkinkan realiti dalam banyak perkara.

Sejarah telah membuktikan bahawa banyak tokoh ilmuan menjadi terkenal hasil imiginasinya yang luar biasa. Saya ambil contoh Albert Einstein yang menyatakan bahawa tenaga terhasil dari imiginasi. Malah beliau pernah ditanya bagaimana beliau mampu menghasilkan begitu banyak teori yang diluar pemikiran manusia ketika itu, beliau menjawab imiginasilah yang menjadi salah satu bahan bakar untuk beliau berfikir sedemikian.

Bagaimana imiginasi yang dihasilkan ini boleh menjurus kepada realiti ?

Pada prinsipnya, fikiran kita merupakan satu sistem yang luar biasa yang menjadi pengerak keatas apa yang kita inginkan. Fikiran mengkoordinasikan sistem yang kompleks yang mengabungkan sistem kimia dan fizik untuk satu keseragaman yang membawa kepada perbuatan dan tingkahlaku kearah untuk mencapai apa yang dikehendaki.

Setiap orang boleh berangan-angan tentang masa depannya. Berangan-angan menjadi seorang wartawan dan penyampai stesen televisen contohnya. Imiginasi tentang kerjaya ini akan mempengaruhi sistem badan untuk melaksanakan perubahan untuk seseorang bertindakbalas seperti seorang wartawan. Secara tidak langsung seseorang itu akan mula belajar berkomunikasi, menulis dan menjaga penampilan diri.

Dengan mewujudkan angan-angan inilah imiginasi mula memainkan peranan. Apabila seseorang mula merencana dan meletakkan imiginasi untuk mendapatkan sesuatu, sistem badan akan mulai mencari jalan bagaimana untuk merealisasikan apa yang sudah difikirkan.

Ada satu kisah tentang bagaimana kekuatan imiginasi boleh membawa kepada kejayaan.

Seorang tentera yang bernama Major James Nesmeth yang begitu berminat dalam permainan golf. Beliau sudah merencanakan hasratnya untuk belajar bermain golf tetapi tidak kesampaian apabila beliau dihantar bertugas ke Vietnam Utara.

Malangnya semasa di Vietnam, beliau ditangkap tentera musuh dan dipenjarakan. Beliau dimasukkan ke sel yang sempit dan kotor serta tidak dibenarkan berkomunikasi dalam apa cara sekalipun dengan sesiapa. Keadaan begini sudah pastinya memberi tekanan dari segi emosi dan fizikal beliau.

Oleh kerana beliau seorang tentera dan telah dilatih untuk menghadapi saat sebegini maka beliau menguatkan mentalnya agar tidak dipengaruhi oleh keadaan yang amat menyulitkan. Maka beliau mula mencipta imiginasi sendiri.

Setiap hari beliau akan memperuntukkan masa selama empat jam untuk berimiginasi bermain golf di sebuah padang golf 18 lubang yang indah. Beliau membentuk imiginasi yang tetap setiap hari selama tujuh tahun beliau dipenjarakan.

Pada tahun ketujuh beliau dibebaskan dari penjara dan pulang kenegaranya. Untuk melupakan kenangan pahit semasa dipenjara, beliau mula bermain golf. Dalam permainan pertamanya, beliau berjaya menandingi lawannya dengan 20 pukulan dibawah par. Orang ramai pun bertanya daripada siapa beliau berlatih. “ Aku belajar selama tujuh tahun ketika di Vietnam di dalam penjara daripada imiginasi ku “ kata Mejar James.

Kisah Mejar James jelas menunjukkan kepada kita tentang kekuatan imiginasi. Kita mewujudkan dan mengambarkan apa yang kita mahu dalam fikiran kita. Imiginasi adalah tenaga yang mana kalau diolah secara berterusan akan memberikan kita satu kekuatan untuk mampu mencapainya.

Dengan kekuatan imiginasi, masa depan akan menjadi milik anda sesuai dengan apa yang kita cita-citakan. Seperti kata Stephen Covey dalam bukunya 7 habits, “ Kita mencipta imiginasi dahulu sebelum mencipta sesuatu fizikal “

Semakin kuat gambaran imiginasi yang anda miliki, semakin besar tenaga yang anda akan miliki untuk menjadikan ia realiti. Sebaliknya jika anda mula membayangkan yang buruk dan negatif, anda akan mewujudkan tenaga negatif dan akan melemahkan untuk mencapai imiginasi tersebut.

Anggaplah imiginasi sebagai kenderaan bagi anda untuk mencapai apa saja yang anda impikan dan cita-citakan. Jaga ia dengan baik, bersihkan ia, servis selalu, elakkan dari kemalangan dan pastinya ia akan membawa anda kedestinasi yang anda impikan.

Wallahualam

Mohd Haris b. Hairun Paezi

15 Mac 2008

No comments:

Post a Comment