Monday, February 22, 2010

Eksplorasi Gua Itik dan Gua Gendang


Pada 19 hingga 21 Feb 2010, saya telah menyertai eksplorasi ke Gua Itik dan Gua Gendang di Pengkalan Hulu, Perak bersama-sama dengan peserta kursus ' Teambuilding ' dari PERDA.


Eksplorasi ini merupakan klimaks kepada kursus ' Teambuilding ' kendalian saya untuk melihat hubungan kerjasama diantara ahli pasukan.

Ekspedisi bermula jam 8.30 pg dan berakhir pada jam 1.00 tengahari telah banyak memberi pengalaman baru kepada saya kerana buat pertama kalinya saya masuk kedalam gua yang didalamnya terdapat sungai.

Terdapat laluan masuk utama yang lebih mudah ke Gua Gendang, tetapi kami tidak melaluinya, kami telah dibawa oleh beberapa orang anggota bomba yang menjadi ' guide ' untuk masuk melalui lubang kecil dibahagian lain gua. Di pintu masuk lubang terdapat papan tanda yang menginggatkan tentang kematian.
Cabaran bermula apabila masuk kedalam gua yang gelap ( hanya dibekalkan lilin sahaja ) ditambah dengan arus sungai yang mengalir deras dan sejuk. Laluan eksplorasi melalui laluan sungai yang pada sesetengah tempat, saya terpaksa merangkak kerana bumbung gua yang terlalu rendah.

Di satu kawasan, kami memadamkan lilin untuk merasai kegelapan gua. Memang benar sangat gelap hingga kita tidak dapat melihat tangan sendiri walaupun diletakkan dihadapan mata kita. Dikatakan kegelapan di dalam gua, 7 kali lebih gelap dari kegelapan malam. Keadaan ini menginggatkan saya kepada kegelapan liang lahat sebagaimana yang tetulis pada papan tanda dipintu masuk tadi.

Ada sesetengah kawasan yang airnya sangat dalam sehingga mencecah ke leher saya ( ketinggian saya 180cm ) dan dikatakan pada musim tengkujuh kedalaman air sungai boleh mencecah sehingga 5 kali ganda kedalaman yang kami lalui pada waktu ini. Tidak hairanlah jika di bumbung gua, dicelah-celah stalaktit terdapat kayu-kayu balak sebesar pemeluk tersadai disitu.

Gua Gendang diambil nama dari bunyi gendang yang kedengaran akibat pukulan air sungai kedinding gua yang menghasilkan bunyi seumpama gendang.

Formasi stalaktit dan stalakmit dan batuan keras yang terbentuk membentuk pelbagai corak dan figura begitu menakjubkan.

Tiada apa yang dapat diungkapkan disini kecuali betapa besarnya kekuasaan Allah apabila sungai yang mengalir boleh mengalir masuk kedalam bukit batu kapur dan membentuk gua yang kemudianya sungai tersebut mengalir keluar semula. Subhanallah.

Di hadapan pintu masuk Gua Itik

Di dalam Gua Gendang

Menunggu giliran untuk masuk ke Gua Gendang

Papan tanda menginggatkan tentang kematian di pintu masuk Gua Gendang

Peserta memasuki Gua Gendang melalui lubang

Hanya cahaya lilin sebagai cahaya di Gua Gendang

1 comment: