Saturday, October 29, 2011

Manfaat Cuti Sekolah

Kem musim panas suntik motivasi diri SELEPAS menempuh peperiksaan pertengahan tahun, tempoh cuti selama dua minggu ini adalah waktu dinanti hampir semua warga pelajar. Pakar motivasi menyarankan waktu ini dipenuhi dengan aktiviti berfaedah. Mereka berpendapat, kebanyakan anak muda yang tidak melakukan apa-apa aktiviti ketika tempoh itu, cenderung menghabiskan masa dengan bermain atau melakukan perkara kurang berfaedah bersama rakan sebaya, berkurung dalam bilik, di depan skrin komputer atau televisyen.

Benar atau tidak, hanya ibu bapa ada jawapannya. Jika sepanjang cuti ini, mereka melahirkan hasrat untuk tidur, bermain atau menonton wayang, anda seharusnya sedari awal, merencana apa yang perlu dilakukan supaya masa emas, tidak berlalu sia-sia.

‘Summer camp’ antara pilihan untuk dimanfaat pelajar ketika cuti. Bererti kem musim panas, ia dianjurkan ketika cuti sekolah di negara yang mempunyai musim panas. Di Malaysia, ia popular sejak pertengahan 90-an. Ketika itu banyak kem latihan dibuka dan peluang ini diambil oleh perunding latihan untuk memperkenalkan konsep kem motivasi, yang digelar ‘summer camp’ diadakan pada musim cuti sekolah pertengahan atau hujung tahun. Sebenarnya, ia adalah sebahagian daripada pembelajaran juga, tetapi diadakan dalam bentuk ‘experiential learning’ (pengalaman) yang dapat membantu menyerlahkan jati diri pelajar dan pembelajaran itu hanya boleh di peroleh ketika menghadiri program sedemikian. Selalunya, ia memerlukan peserta bermalam sama ada satu atau dua hari bergantung kepada modul disediakan penganjur.

Perunding Latihan Mind Vision Training & Services, Mohd Haris Hairun Paezi, berkata matlamat utama kem ialah memberi suntikan motivasi kepada pelajar untuk belajar, di samping memberi kefahaman mengenai tanggungjawab sebagai seorang anak dan pelajar. Tidak ketinggalan pendedahan terhadap kemahiran insaniah seperti kemahiran kepemimpinan, komunikasi, kerjasama dan kreativiti. Pada masa sama, mengajar pelajar untuk berdisiplin dalam mengurus diri dan masa. “Sejak empat tahun lalu, kem anjuran kami dihadiri peserta tetap pada usia sembilan tahun hingga 16 tahun,” katanya. ‘Summer camp’ menyediakan tiga jenis gaya belajar, iaitu melalui visual, auditori dan kinestetik bagi memberi kefahaman yang mendalam kepada pelajar mengenai apa yang ingin disampaikan. Hakikatnya, pelajar lebih mudah memahami sesuatu yang ingin disampaikan apabila mereka melakukan aktiviti yang dapat merangsang minda mereka dan seterusnya maklumat berkenaan akan tersimpan di minda kekal. Selain itu, mereka juga mudah tertarik dan berminat apabila melalui sesuatu yang baru yang belum pernah mereka lalui sebelum ini menerusi modul dijalankan “Maka boleh dikatakan, summer camp menjadi keperluan kepada pelajar terutama generasi sekarang sebagai pelengkap pembelajaran di sekolah bagi menjamin survival mereka pada masa akan datang,” katanya. Menyentuh mengenai aspek keselamatan, katanya, ibu bapa tidak seharusnya terlalu bimbang, lantaran pihak penganjur selalunya memastikan ia diberi keutamaan. Taklimat keselamatan diberikan pada hari pertama kepada peserta dan pada setiap masa, pergerakan mereka akan dipantau oleh jurulatih atau fasilitator. “Ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang kerana jurulatih dan fasilitator yang terbabit dalam program seumpama ini, terdiri daripada individu yang berpengalaman dan terlatih untuk melaksanakan aktiviti latihan. “Tempat latihan juga tidak mengabaikan aspek keselamatan, yang mana kebanyakan kem latihan menggunakan khidmat jurulatih bertauliah untuk mengendalikan aktiviti luaran (outbound) seperti ‘flying fox’, ‘rappelling’, ‘water confidence’ dan ‘jungle trekking’. Makanan dan minuman peserta juga sentiasa dipastikan bersih dan tidak tercemar,” katanya. Begitu juga tempat tinggal, ia dipastikan selamat. Katil tidak disusun rapat dan mempunyai ruang untuk bergerak andai berlaku kecemasan dan mempunyai dua pintu keluar. “Penganjur yang bertauliah selalunya tidak mengabaikan aspek penting dalam menjayakan sesuatu program.

Justeru, amat penting ibu bapa ‘memastikan’ penganjur kem benar-benar tulus serta berpengalaman kerana ada juga beberapa kes, ibu bapa tertipu. Keadaan itu berlaku mungkin kerana ibu bapa tidak menyelidik secara terperinci mengenai penganjur. “Nasihat saya, ibu bapa mengetahui dengan jelas modul serta penganjur. Kerana dalam beberapa kes penipuan, ada ibu bapa yang membayar kepada penganjur tetapi sebenarnya ia tidak wujud, sedangkan wang sudah pun dibayar,” katanya. Memperuntukkan sejumlah wang kepada penganjur dengan harapan anak-anak pulang dengan semangat positif, Mohd Haris berkata, selalunya ibu bapa meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada penganjur supaya dapat melakukan perubahan kepada anak mereka dalam aspek tertentu seperti tingkah laku. “Perlu diingatkan, jurulatih atau fasilitator bertindak sebagai pencetus minda peserta ke arah perubahan dan terpulang kepada peserta sama ada mereka mahu atau tidak melakukan perubahan. Di sinilah peranan ibu bapa di rumah untuk terus menyuburkan dan memberikan sokongan kepada anak ini supaya mereka terus menjadi insan positif dan bermotivasi,” katanya.

INFO: Panduan mengelak ditipu!

Pastikan penganjur mempunyai pengalaman dalam menganjur program latihan sama ada berbentuk berkumpulan atau terbuka.

Pastikan jurulatih mempunyai tauliah sebagai jurulatih dan berpengalaman dalam bidang latihan serta mesra dan mengambil berat hal pelajar.

Pastikan bilangan jurulatih dan fasilitator mencukupi ketika program berlangsung (seorang fasilitator bagi setiap 10 atau 15 peserta dalam kumpulan)

Pastikan mendapat penjelasan lengkap berhubung pengisian program, tempat latihan daripada penganjur sebelum membuat pendaftaran.

Pastikan pengisian program adalah bersesuaian dan terarah untuk membentuk minda, jasad, rohani, emosi dan sosial pelajar.

Pastikan memilih penganjur yang tidak mengambil terlalu ramai peserta kerana ini boleh menyebabkan ada peserta yang tercicir dan tidak berpeluang untuk menonjolkan diri.

Pastikan tiada aktiviti ekstrem yang merbahaya dan berisiko tinggi (terutama kepada kanak-kanak 9 tahun hingga 12 tahun).

Pastikan penganjur atau tempat latihan mengambil perlindungan insurans untuk aktiviti luaran.

Pastikan tempat latihan mempunyai kawalan keselamatan dan berpagar (bukan kem terbuka yang dikunjungi orang awam).

Maklumkan kepada penganjur jika anak anda mempunyai alahan atau sebarang penyakit.

Manfaat cuti sekolah
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Berita Harian
31 Mei 2011

Untuk Maklumat Lanjut Berkaitan Program Summer Camp Anjuran Mindvision Training, sila layari http://www.summercamp.mindvision.com.my/