Friday, July 23, 2010

Rehlah Ibadah SMK Bandar Baru Sri Petaling

Program Rehlah Ibadah pelajar SMK Bandar Baru Sri Petaling telah berlangsung pada 17 dan 19 Julai lalu dan disertai oleh seramai 132 orang peserta.

Objektif kursus adalah untuk memberi suntikan motivasi kepada pelajar melalui pendekatan ibadah yang lebih santai sesuai dengan jiwa remaja yang tidak sukakan sesuatu yang berat.

Alhamdulillah, semua pelajar memberi komitmen yang begitu baik dalam menjayakan program tersebut.

Tahniah kepada pelajar sekolah tersebut kerana telah meletakkan nama sekolah mereka di dalam senarai 10 terbaik aktiviti Reef Knot.

Semoga usaha kalian untuk menjadi insan yang terbaik akan menjadi kenyataan. Teruskan perjuangan anda wahai anak bangsa.

Biar patah sayap bertongkat paruh sekalipun, jangan undur walau selangkah.

Video Program

Thursday, July 22, 2010

Remaja Malaysia VS Remaja Palestin

Bukan setahun dua tetapi pencerobohan haram yahudi ke atas tanah orang Islam Palestin sejak 1948 telah mengubah secara keseluruhan landskap negara berdaulat yang disemai dengan kasih sayang serta menyimpan pelbagai nostalgia silam kini terdedah kezaliman dan penindasan yang berterusan.

Sudah sekian lama tidak kelihatan ketenangan dan kedamaian tetapi dipenuhi dengan tangisan dan darah.

Malaysia, antara negara yang majoriti besar adalah umat yang beragama Islam yang semakin hari semakin peka dengan isu kemanusiaan di Palestin kerana dasar akidah dan tanggungjawab sebagai saudara seagama.

Walau apapun yang diperkatakan tiada yang dapat menafikan tunjang kebangkitan dan kekuatan kedua-dua negara ini adalah para remaja dan belia yang akan menjadi pelapis, pelindung dan penerus amanah dakwah dan kepemimpinan negara. Mereka inilah yang akan meneruskan ‘baton’ kepemimpinan mahupun perjuangan menentang kezaliman yang menjadi lubuk serangan pihak musuh.

Berbicara mengenai remaja dan belia ini, umum mengetahui hampir lebih separuh dari populari Malaysia adalah para remaja dan belia ini yang meletakkan Malaysia sebagai negara yang cukup hebat dari segi simpanan aset remaja dan pemuda yang diidam-idamkan kerana potensi yang ada pada diri mereka ini.

Jika kita selami potensi diri remaja ini jika dibelai, diasah dan ditonjolkan maka tidak ada sesiapapun berani mencabar mahupun berdebat bahkan akan duduk terdiam melihat potensi dan keberanian tersembunyi yang mampu menewaskan jutaan parameter yang lain.

Kita lihat dahulu bagaimana antara puluhan kisah, kita renungkan satu kisah yang membuka mata seluruh dunia dengan tindakan cekal seorang remaja dengan pengorbanan agung dalam membuktikan semangat ‘orang muda’ iaitu kisah bagaimana syahidnya Faris Audah, 14 yang merupakan si cilik dari kem pelarian Jabalia di Palestin.

Kisah bagaimana keberanian seorang remaja menyahut panggilan Intifadhah dengan dengan hanya menggunakan batu sebagai senjata untuk mempertahankan bumi anbiya’, tempat di mana menjadi kiblat pertama umat Islam.. Serangan ditujukan bukan kepada burung ataupun kucing tetapi berhadapan dengan kereta kebal Yahudi yang sedang menyerang dan menghancurkan tanah lahirnya.

Itulah rutin harian Farei Audah selepas balik dari sekolah bersama-sama dengan rakan sebayanya. Walaupun ibunya seringkali risau akan tindakanya, tetapi dia menjawab “ kenapa kita tidak boleh menyerang mereka, sedangkan mereka menyerang kita”.

Malah tindakan ini menjadikan ada ketikanya Yahudi takut dan berundur dengan balingan-balingan batu ini. Selepas 40 hari berjihad bertempur dengan kereta-kereta kebal yahudi menjadikan Faris Audah sebagai sasaran ancaman kepada Yahudi.

Ketika tangan kanan kuat menggenggam batu berhadapan dengan muncung kereta kebal Yahudi Laknatullah, tentera Yahudi menggunakan Sniper menembaknya tepat dikepalanya.

Kejayaan membunuh Faris Audah disambut dengan kegembiraan oleh tentera-tentera yahudi meraikan kemenangan mereka ke atas si cilik bertuah yang bergelar As-Syahid.

Itulah kisah pengorbanan agung remaja bukan pada waktu silam tetapi pada ketika ini yang menunjukkan hebatnya remaja-remaja ini hasil didikan dan pemahaman yang betul. Itu kisah terpuji di negara perang yang sudah lama tidak kenal erti kedamaian, kesejahteraan, kasih sayang keluarga yang kurang akibat kematian orang tersayang, tiada sistem persekolahan yang teratur dan seribu macam perkara lagi.

Jadi, bagaimana pula dengan remaja di negara kita yang sepatutnya lebih hebat daripada yang diceritaka kerana kita jauh berada dalam keamanan, kedamaian, kekayaan, kesejahteraan, penuh teknologi dan seribu macam lagi keselesaan.

Perbandingan Senario remaja di Malaysia dengan Palestin

Kita selaku mereka yang peka dan mengambil berat isu ummah ini sudah melakukan sedaya kita dalam menggerakkan kempen-kempen kesedaran isu palestin, menggerakkan usaha mengumpul dana bagi membantu saudara-saudara kita di Palestin, tidak kurang menggunakan kepakaran dalam bidang masing-masing bagi menyampaikan maklumat bagi mendedahkan situasi sebenar yang berlaku di sana bahkan penghantaran misi-misi kemanusian kesana baru-baru ini.

Bagaimana pula dengan isu remaja-remaja tonggak pelapis kita di Malaysia ini? Jika hanya satu kisah Faris Audah yang dipersembahkan, adakah yang setanding dengannya dalam mempertahankan Islam dan perjuangan di bumi Malaysia tercinta ini?

Semua pihak perlu jelas dengan realiti remaja di Malaysia pada ketika ini yang terlalu dimanjakan dan kurangnya pemfokusan dalam keatas mereka dalam satu sistem atau acuan yang benar-benar mantap dalam membentuk pemahaman, jati diri dan rasa tanggungjawab.

Kita lihat bagaimana pengaruh Hedonisme atau menjadikan falsafah keseronokan dan hiburan sebagai matlamat dalam hidup. Ini telah menjadikan hilangnya nilai-nilai ketimuran dalam setiap tindak-tanduk para remaja .

Ini belum lagi kisah remaja-remaja pada usia semuda 12 tahun menubuhkan kumpulan Black Metal yang dianggotai oleh rakan-rakan sebaya seperti yang pernah dilaporkan berlaku di Sg. Petani, Kedah. Belum lagi dikira jumlah yang terlibat dengan ajaran-ajaran sesat akibat terlalu menyanjung barat sehingga diawal usia ini ada yang berani menghina tuhan, kencing pada Al-quran, mengamalkan budaya sesat dengan memuja syaitan dan pelbagai lagi perkara-perkara yang tidak masuk akal.

Bagaimana perbandingan antara semangat, wawasan dan ketaatan As-Syahid Faris Audah dengan Remaja di Malaysia pada usia mereka yang sebaya?

Satu persatu kita boleh dirungkaikan, jika di Palestin menuntut ilmu sangat dititikberatkan sehinggakan batu dijadikan pensil, tanah dijadikan kertas dalam kesungguhan anak-anak kecil menuntut ilmu walaupun dalam keadan perang.

Sekolah yang tidak beratap dan berdinding serta kawasan sekitarnya penuh dengan habuk dan kesan kimia daripada penggunaan senjata yahudi bukannya selesa dengan keaadan berhawa dingin. Mereka mendesak pengganas, tidak dihiraukan perkara lain sehingga belajar dibawah muncung senapang yang sentiasa diacukan kepada mereka.

Lain pula kisahnya dinegara kita, walaupun disediakan dengan sistem yang tersusun, guru-guru yang ramai dan berkelayakan, sumber-sumber dan bahan rujukan lebih daripada mencukupi, kemudahan internet, kawasan pembelajaran yang efektif dan kondusif serta pelbagai kemudahan terus meletakkan remaja-remaja di zon selesa.

Apa yang terjadi? Budaya lepak yang berterusan tanpa sebarang rasa tanggungjawab terhadap ilmu dan masa depan ditambah dengan penglibatan dalam gengsterisme, berjudi, melawan guru, penyalahgunaan dadah, mencabul kehormatan dan pelbagai lagi jika ditunjukkan statistik pasti semua pihak akan terus menuding jari dan menggeleng kepala melihat teruknya tahap pemikiran, pemahaman dan perlakuan sebahagian besar remaja-remaja di Malaysia, sebuah negara penduduk Islam yang membangun.

Ketidakpedulian kepada ilmu agama menjadi faktor paling penting yang mencorakkan remaja-remaja ini ke arah gejala negatif dan jika tidak dirawat segera secara kolektif akan terperosok di lembah kehinaan. Jangan sesekali menganggap pembelajaran matapelajaran Agama Islam pada peringkat rendah dan menengah dengan secara teori untuk menjawab dalam peperiksaan itu sudah mencukupi untuk membentuk jiwa melahir insan berperibadi muslim tanpa penerapan secara total unsur-unsur pemahaman dan pengamalan dengan cara yang sebenarnya.

Adakah kita tidak mengambil iktibar bagaimana dalam keadaan perang yang tersangat dahsyat dalam sejarah dunia, Palestin bersungguh menerapkan ilmu agama dan berjaya melahirkan 15,000 anak-anak Palestin yang hafaz al-Quran.“Pemimpin kami mendapat tarbiyah daripada Masjid Al-Aqsa dan kami pula mengajar anak-anak Palestin. Musim luruh lalu, kami berjaya lahirkan 15,000 anak-anak Palestin yang hafaz al-Quran.”Demikian antara petikan kata-kata pemimpin Hamas, Sami Abu Zuhri yang menceritakan antara kejayaan perjuangan pertubuhan Islam itu selain membebaskan bumi Anbia itu daripada rejim Zionis Israel.Dimana kita, dimana mereka?

Banyak lagi perkara memalukan yang tak mampu kita redahi, bagaimana remaja-remaja dilalaikan dengan program-program realiti televisyen (tv) yang semakin mendapat sokongan akar umbi. Semakin hari semakin bertambah, malahan stesen-stesen di negara ini berlumba-lumba untuk mempromosikan rancangan realiti tv masing-masing yang ternyata bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

Kita disajikan dengan rancangan-rancangan seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Mentor Mencari Cinta, The Most Beutiful, One In a Million dan banyak lagi.

Kegilaan terhadap realiti tv ini amat dasyat dan kesan atau pengaruhnya amat menakutkan sekali. Sebenarnya program realiti tv ini merupakan satu bentuk penjajahan baru ke atas pemikiran umat islam atau “ghazwatul fikr”. Ini merupakan agenda Yahudi dan Nasrani yang mempunyai agenda tersembunyi untuk melemahkan umat Islam melalui serangan pemikiran yang akan mematikan daya tahan, daya juang dan semangat jihad umat Islam.

Umat Islam dilekakan dengan program realiti tv ini. Kemudian artis-artis yang tidak sepatutnya akan dijadikan idola tanpa mengambil kira syariat agama. segala perlakuan, kata-kata, cara hidup dan semuanya akan diikuti untuk dicontohi yang berterusan meletakkan mereka hanya Islam pada nama tanpa mengambil berat tentang agama yang dianuti.

Mereka tidak lagi berminat untuk mengetahui nasib saudara seagama mereka yang tertindas di Palestin atau di Iraq. Mereka lebih senang menangisi penyingkiran peserta AF daripada menangisi nasib umat Islam lain yang dibunuh, disiksa oleh tentera Israel di bumi Palestin.Tidak ketinggalan juga, bola sepak menjadi kegilaan remaja dan belia, menghilangkan semangat tidak kena pada tempatnya. Untuk bangun ditengah malam menyokong pasukan pilihan dengan mengorbankan tidur dapat dilakukan tetapi untuk bangun mendirikan solat malam berapa kerat yang mengamalkannya, sejauhmanakah penekanannya pada remaja-remaja pada zaman moden ini?

Peristiwa ini seakan mengulangi Tragedi 1967, iaitu ketika orang Arab disibukkan dengan sebuah kejohanan bola sepak, Israel menyerang Sinai, menyebabkan dunia Arab dan Islam dimalukan.

Keterlibatan remaja-remaja dan belia dalam kancah zina dan seks terlarang juga sedang menghancurkan institusi sosial di negara kita memalukan negara yang dikatakan Negara Islam contoh kepada dunia. Pergaulan silang jantina yang bebas melampau batas, seks menjadi santapan harian sebagai satu perkara lumrah, apatah lagi dengan pendedahan aurat dan lain-lain tuntutan agama yang sudah hampir dikuburkan.Kesannya pembuangan bayi merata-rata, pengguguran berleluasa malah mula ada cadangan untuk mewujudkan bank bayi dan sebagainya.

Tidakkah hinanya manusia pada ketika ini jika dibandingkan dengan haiwan pun yang menyayangi anaknya. Kehancuran demi kehancuran, penyakit HIV/AIDS akan mula menjadi kebiasaan dan seterusnya menghancurkan tamadun. Kita lihat statistik pendaftaran anak luar nikah pada 1999-2003 yang mencatatkan bilangan 70430 di seluruh negara. Ini adalah jumlah tidak termasuk yang tidak didaftarkan yang pasti akan meningkatkan jumlah ini yang dicatatkan pada setengah dekad yang lalu.

Kini pastinya angka-angka ini sudah jauh meningkat dengan keadaan sosial dan cara hidup remaja di negara kita. Sedikit demi sedikit jika kita luangkan masa untuk mengkaji dan menilai umat ini, kita akan tersangat malu kerana berani mendabik dada mengatakan berada dalam era nano-teknologi, kemajuan infrastruktur tetapi kehancuran institusi agama dan masyarakat.

Jika Bayi di Malaysia dihina dengan dibuang di dalam tong sampah dalam keadaan masih merah bertali pusat, bayi di palestin pula disanjung akibat syahid ditembak oleh tentera zionis.

Pelajar-pelajar di Malaysia melepak di pasaraya membeli-belah dengan aktiviti merugikan diri agama dan negara, tetapi pelajar-pelajar di Palestin sana mendesak, mendesak tentera yahudi untuk berundur. Mereka relakan diri belajar dibawah muncung senapang kerana ilmu mereka akan gunakan untuk berjuang pada kemudian hari.

Semangat remaja-remaja Malaysia adalah berhibur, gembira dalam keseronokan pergaulan bebas, zina, rokok, arak dan disko. Semangat di Palestin adalah bertempur dengan semangat jihad kerana Allah.

Mereka bertempur dengan lastik dan batu berhadapan senjata-senjata berteknologi tinggi dan kereta kebal.

Kematian di Malaysia kerana pecah kepala atau hancur tubuh akibat lumba haram juga jenayah dan gengsterisme tetapi kemalangan menghasilkan maut di Palestin adalah kerana di Bom dalam serangan menghancurkan akidah umat Islam.

Di Malaysia pendedahan aurat kerana inginkan kebebasan, keseronokan didampingi agar dilihat lelaki bukan mahram tetapi di sana dalam keadaan perang dan darurat mereka menjaga aurat dengan cukup tegas.

Jika diteruskan pasti tidak akan berhenti perbezaan yang boleh dinukilkan kerana terlalu banyak bezanya, kadang-kadang tidak layak untuk dibandingkan kerana kemuliaan dan kehinaan cukup jauh taraf dan martabatnya.Maka bersama-samalah kita berusaha agar lembah kehinaan yang semakin dalam ini dalpat ditimbusi dengan pemantapan akidah, pemahaman islam secara total agar berlaku hijrah dari lembah kehinaan ke puncak kemuliaan, tidak lain tidak bukan dengan taqwa.

Monday, July 5, 2010

Kursus Komunikasi Berkesan dan Kerjasama Berpasukan Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia

Pada 2 hingga 4 Julai lalu telah berlangsung Kursus Komunikasi Berkesan dan Kerjasama Berpasukan, Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia yang telah dihadiri oleh seramai 30 orang peserta bertempat di Lembah Azwen Resort, Hulu Langat.

Program 3 hari 2 malam tersebut telah diisi dengan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi disamping membina semangat kerjasama dikalangan peserta seperti Kunang-kunang, Reef Knot, Emergency Boat dan Black Box Orienteering.

Ketua Pengarah Kanan, Bahagian Kesihatan Pergigian, Dato' Dr Norain telah meluangkan masa untuk merasmikan majlis penutup disamping menyampaikan sijil penyertaan serta hadiah kepada kumpulan terbaik, siapa lagi kalau bukan kumpulan SPONGE.

Dato' Dr Norain menyampaikan sijil kepada En Nasrul

Reef Knot.....

kapten....30 minit sahaja


Water sports....Rafting


Riadah Petang - The Ring

Good job, anda semua hebat....semoga ukhuwah yang terjalin antara anda semua akan terus berkekalan dan semoga organisasi anda sentiasa cemerlang.