Tuesday, October 27, 2009

Kementerian Pelajaran Tetap Teruskan Aktiviti Kurikulum


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan tetap meneruskan aktiviti kurikulum termasuk program perkhemahan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak kementerian akan meneliti dengan lebih mendalam mengenai pelbagai perkara khususnya aspek keselamatan.

"Pertama sekali kita sedih dengan tragedi ini, sudah pasti kita perlu teruskan dengan aktiviti kurikulum tambahan kerana ini adalah sebahagian daripada kaedah pendidikan.

"Bagaimanapun kita akan teliti apa yang terbaik untuk pelajar. Kita akan teliti mengenai aspek keselamatan," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada Kementerian Pelajaran akan menghentikan serta merta program-program perkhemahan anjurannya selepas kes jambatan gantung runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat Kampar kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Dalam kejadian itu seorang murid perempuan lemas manakala dua lagi masih dilaporkan hilang dan 19 lagi yang sebelum ini dikhuatiri hilang, selamat.

Jambatan itu runtuh semasa sekumpulan peserta perkhemahan sedang menyeberanginya dari tapak perkhemahan untuk ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang bagi jamuan malam.

Tambah Wee, Kementerian Pelajaran memandang serius dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung kes berkenaan.

"Kita memandang berat mengenai kes ini, kita akan cuba sedaya upaya untuk mencari cara penyelesaian yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Trajedi Perkhemahan 1 Malaysia Kuala Dipang



KAMPAR: Tindakan nekad seorang guru dan tiga pengawal keselamatan terjun mengharung air deras dalam kegelapan malam menyelamatkan 19 murid daripada hanyut dalam kejadian jambatan runtuh di kawasan perkhemahan Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta di sini, malam tadi.

Hanya cahaya samar lampu dari kawasan perkhemahan yang terletak di seberang tebing sungai berkenaan membantu usaha menyelamat itu. Suasana ketika itu kelam kabut dengan jeritan minta tolong dan tangisan murid yang berpaut pada tali jambatan, kata pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Zulkifli Mohamad, 38, hari ini.Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, 22 murid terjatuh ke dalam Sungai Kampar ketika sedang menaiki jambatan gantung yang baru dibina dua minggu lalu itu untuk jamuan malam di SK Kuala Dipang.

Kumpulan itu adalah antara 298 murid dari 64 sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di pusat berkenaan yang terletak di tebing berdepan sekolah berkenaan. Menceritakan semula detik-detik cemas malam tadi, Zulkifli berkata, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan tanpa berfikir panjang beliau terus terjun ke sungai berkenaan untuk membantu mangsa.Dua lagi rakannya, Rosli Mohamad, 44, dan Ismail Ahmad 62, turut terjun ke sungai bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit. Zulkifli berkata, rakannya Rosli berjaya membawa naik enam murid manakala beliau dan Ismail sempat menarik naik antara empat dan enam murid. "Air sungai sangat deras dan saya bersyukur kerana dapat membantu dengan cepat," katanya.

Sementara itu, seorang guru, Mohd Safri Abdul Rafar berkata, beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti oleh jerit pekik.Menyedari jambatan itu runtuh ketika murid-murid berada di atasnya, beliau nekad terjun ke sungai dan mengharungi arus deras bagi menyelamatkan mereka.
Seorang pelajar yang terselamat dalam kejadian itu, Mohd Haziq Teng Mohd Salleh, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bemban, Batu Gajah, berkata ketika kejadian, beliau berada di tengah-tengah jambatan. "Tiba-tiba saja saya tercampak ke dalam sungai, air sangat deras...saya bersyukur kerana sempat berpaut pada tali yang terjuntai dari titi dan dapat menyelamatkan diri dengan menaiki tepi tebing," katanya. Perkhemahan yang bermula semalam, dijadual hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang semalam.
Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dibina dua minggu lalu bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini dan ia menghubungkan tapak perkhemahan untuk ke SK Kuala Dipang. Seramai 23 guru terbabit dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang itu adalah yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya minggu lalu.