Friday, November 20, 2009

Retreat PMR DBKL


Program ' Retreat ' PMR DBKL siri 2 berlangsung pada 13 hingga 15 November 2009 di Kem Brindley, Pasir Panjang, Port Dickson.


Dua buah sekolah menyertai program ini iaitu SMK La Salle Brickfield dan SMK Putri Titiwangsa.

Program Lawatan Sambil Belajar Dan Motivasi Negeri Sembilan


Lawatan sambil belajar dan motivasi DBKL ke Negeri Sembilan disertai oleh pelajar dari SMK Sri Bintang Selatan dan SMK Sri Mulia pada 11 hingga 13 November 2009.


Antara lokasi lawatan adalah Istana Lama Sri Menanti di Kuala Pilah dan Muzium Angkatan Tentera di Kem Si Rusa, Port Dickson.

Sunday, November 8, 2009

Retreat SMK Sri Bintang Selatan


Program Retreat SMK SBS anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berlangsung di Lembah Azwen Resort pada 6 hingga 8 November 2009.

Seramai 28 orang pelajar tingkatan 3 menyertai program ini yang lebih kepada memberi pendedahan dan pengalaman kepada peserta tentang kemahiran kerjasama berpasukan.


Antara aktiviti yang dijalankan adalah Reef Knot, Cast Away, water confidence & rafting, Perigi beracun dan Kampung Idaman.

Lawatan Sambil Belajar & Motivasi DBKL ( Melaka )


Tanggal 4 hingga 6 November 2009 lalu kami telah mengendalikan satu program lawatan sambil belajar dan motivasi ke Melaka dimana program tersebut adalah anjuran Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Seramai 70 orang peserta terdiri dari pelajar tahun 6 SK Bangsar dan SK Bukit Pantai menyertai program tersebut dimana para peserta menginap di Ismah Beach Resort, Padang Kemunting, Melaka.


Sesi lawatan bermula pada hari kedua ( 5 Nov 2009 )ke A Famosa dan Istana Kesultanan Melaka di Bandar Hilir diikuti dengan lawatan ke Kompleks Falak Alkhawarizmi.


Bersebelahan dengan Ismah Beach Resort terdapat Pusat Pengurusan Penyu, dan pada sebelah petang sekitar jam 6.30, setiap kumpulan diberi seekor anak penyu karah untuk dilepaskan kelaut.


Selain dari mengikuti program lawatan, peserta juga diberi suntikan motivasi dan kemahiran melalui slot MINJAROES dan MINDMAPPING.

Tuesday, October 27, 2009

Kementerian Pelajaran Tetap Teruskan Aktiviti Kurikulum


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan tetap meneruskan aktiviti kurikulum termasuk program perkhemahan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Bagaimanapun beliau berkata, pihak kementerian akan meneliti dengan lebih mendalam mengenai pelbagai perkara khususnya aspek keselamatan.

"Pertama sekali kita sedih dengan tragedi ini, sudah pasti kita perlu teruskan dengan aktiviti kurikulum tambahan kerana ini adalah sebahagian daripada kaedah pendidikan.

"Bagaimanapun kita akan teliti apa yang terbaik untuk pelajar. Kita akan teliti mengenai aspek keselamatan," katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada Kementerian Pelajaran akan menghentikan serta merta program-program perkhemahan anjurannya selepas kes jambatan gantung runtuh di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang dekat Kampar kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Dalam kejadian itu seorang murid perempuan lemas manakala dua lagi masih dilaporkan hilang dan 19 lagi yang sebelum ini dikhuatiri hilang, selamat.

Jambatan itu runtuh semasa sekumpulan peserta perkhemahan sedang menyeberanginya dari tapak perkhemahan untuk ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang bagi jamuan malam.

Tambah Wee, Kementerian Pelajaran memandang serius dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung kes berkenaan.

"Kita memandang berat mengenai kes ini, kita akan cuba sedaya upaya untuk mencari cara penyelesaian yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini," katanya.

Trajedi Perkhemahan 1 Malaysia Kuala Dipang



KAMPAR: Tindakan nekad seorang guru dan tiga pengawal keselamatan terjun mengharung air deras dalam kegelapan malam menyelamatkan 19 murid daripada hanyut dalam kejadian jambatan runtuh di kawasan perkhemahan Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta di sini, malam tadi.

Hanya cahaya samar lampu dari kawasan perkhemahan yang terletak di seberang tebing sungai berkenaan membantu usaha menyelamat itu. Suasana ketika itu kelam kabut dengan jeritan minta tolong dan tangisan murid yang berpaut pada tali jambatan, kata pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, Zulkifli Mohamad, 38, hari ini.Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, 22 murid terjatuh ke dalam Sungai Kampar ketika sedang menaiki jambatan gantung yang baru dibina dua minggu lalu itu untuk jamuan malam di SK Kuala Dipang.

Kumpulan itu adalah antara 298 murid dari 64 sekolah rendah dari Tronoh, Batu Gajah dan Kampar yang menyertai perkhemahan 1Malaysia di pusat berkenaan yang terletak di tebing berdepan sekolah berkenaan. Menceritakan semula detik-detik cemas malam tadi, Zulkifli berkata, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dan tanpa berfikir panjang beliau terus terjun ke sungai berkenaan untuk membantu mangsa.Dua lagi rakannya, Rosli Mohamad, 44, dan Ismail Ahmad 62, turut terjun ke sungai bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit. Zulkifli berkata, rakannya Rosli berjaya membawa naik enam murid manakala beliau dan Ismail sempat menarik naik antara empat dan enam murid. "Air sungai sangat deras dan saya bersyukur kerana dapat membantu dengan cepat," katanya.

Sementara itu, seorang guru, Mohd Safri Abdul Rafar berkata, beliau berada tidak jauh dari jambatan dan terkejut apabila terdengar bunyi benda jatuh diikuti oleh jerit pekik.Menyedari jambatan itu runtuh ketika murid-murid berada di atasnya, beliau nekad terjun ke sungai dan mengharungi arus deras bagi menyelamatkan mereka.
Seorang pelajar yang terselamat dalam kejadian itu, Mohd Haziq Teng Mohd Salleh, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bemban, Batu Gajah, berkata ketika kejadian, beliau berada di tengah-tengah jambatan. "Tiba-tiba saja saya tercampak ke dalam sungai, air sangat deras...saya bersyukur kerana sempat berpaut pada tali yang terjuntai dari titi dan dapat menyelamatkan diri dengan menaiki tepi tebing," katanya. Perkhemahan yang bermula semalam, dijadual hingga Khamis dan pendaftaran peserta dibuat sejak 3 petang semalam.
Jambatan sepanjang kira-kira 50 meter itu baru siap dibina dua minggu lalu bagi menggantikan sebuah jambatan gantung lama yang runtuh sebelum ini dan ia menghubungkan tapak perkhemahan untuk ke SK Kuala Dipang. Seramai 23 guru terbabit dengan perkhemahan itu dan kem yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang itu adalah yang kedua dianjurkan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan selepas perkhemahan di SK Pos Raya minggu lalu.

Tuesday, September 29, 2009

Jurulatih Motivasi Diperlukan


Mindvision Training & Services mengalu-alukan kepada sesiapa yang berminat dalam bidang latihan untuk menyertai team kami ( Jurulatih Separuh Masa ). Jika anda berumur antara 17 hingga 30 tahun, berminat dalam aktiviti latihan dan motivasi dan tinggal di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor, sila hantar CV anda beserta gambar ke haris@mindvision.com.my

KEM Motivasi & Bina Kecemerlangan Diri Musim Cuti Sekolah


Tarikh : 5 Disember( Sabtu ) hingga 7 Disember ( Isnin ) 2009
Tempat : Kem An-Naim, Hulu Langat, Selangor
Peserta : Pelajar Sekolah Berumur 11 - 17 tahun
Bayaran Penyertaan : RM200.00 / seorang

Penginapan : Dorm / Chalet
Makanan & minuman : 6x sehari / Barbeku
Lain-lain : Bahan kursus / sijil / DVD program














Program bina diri semasa cuti sekolah merupakan bentuk pembelajaran berbentuk Experiential Learning yang dapat membantu membuka minda remaja disamping menyuntik semangat dan meningkatkan jatidiri remaja.

Objektif
1. Menjelas dan membimbing para peserta untuk memupuk pembangunan sahsiah diri yang unggul dan peningkatan dari segi pencapaian akademik yang tinggi

2. Menterjemah dan menanamkan nilai keyakinan diri dari aspek mental dan spiritual bagi meningkatkan kualiti akhlak dan disiplin di kalangan generasi pelajar hari ini.

3. Melahirkan individu yang kental dan serba boleh dalam menghadapi cabaran dunia masa kini.

Pengisian

1. Jungle Treking
2. Orienteering
3. Ikhtiar Hidup
4. Water Confidence / Kayak
6. Xplorerace
7. Night Walk
8. Energizer Games

Pendaftaran di buka sekarang, sila hubungi Tuan Haris ( 019-3214190 ) untuk maklumat lanjut.

Tuesday, September 15, 2009

Iklan Hari Raya Pilihan

Salam 1 Syawal,

Menjelang 1 syawal pastinya ramai yang tertunggu-tunggu apakah pula kisah disebalik iklan hari raya dari Petronas. Setiap tahun Petronas menyediakan juadah awal hari raya dengan iklan yang begitu menyentuh perasaan dan menimbulkan kesedaran kepada masyarakat khususnya orang melayu.

Bukan sahaja Petronas, malahan sudah menjadi trend bagi syarikat swasta untuk berlumba-lumba memotivasikan orang ramai melalui iklan, terutama iklan perayaan.

Dalam banyak-banyak koleksi iklan hari raya dari tahun 1995 hingga 2008, saya memilih iklan Petronas pada tahun 2003 yang memaparkan kisah seorang ibu dengan 7 anak lelakinya. Bukan sahaja ibu bapa berkorban untuk anak-anak, malahan anak-anak juga bisa melakukan pengorbanan terhadap mereka, Saksikanlah....



Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Kami di mindvision ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pelanggan dan peserta kursus sepanjang tahun 2009. Semoga amal ibadah kita di bulan Ramadhan diterima Allah dan diampunkan segala dosa-dosa kita.

Kami juga ingin memohon ampun dan maaf sekiranya samada kami sedari atau tidak sedari telah menguris hati anda.

Kepada jurulatih-jurulatih mindvision, terima kasih atas komitmen anda sepanjang tahun ini dan insyaallah program kita akan bermula semula pada minggu pertama bulan Oktober.